Biskut Lidah Kucing @ Rainbow Cookies
Demam biskut lidah kucing @ Rinbow Cookies melanda lagi. Actually biskut ni telah muncul tahun lepas dan mendapat sambutan hangat. Warnanya yang berwarna warni menggunakan warna pelangi menjadi tarikan kepada ramai pembeli dan penggemar biskut lidah kucing. Raya tahun ni Mak Long juga menerima tempahan untuk biskut lidah kucing. Alhamdulillah sambutannya memang diluar dugaan.
Biskut Lidah Kucing @ Rainbow Cookies ni memang sangat nipis dan rangup. Bila makan tak sedar habis satu bekas. Loyang lidah kucing ni ada dalam pelbagai bentuk. Satu seperti dalam gambar di bawah ni, berbentuk bujur memanjang seakan lidah kucing. Ada juga loyang yang berbentuk love dan bulat tetapi kalau di Ipoh ni, rata-rata kedai bakery jual loyang lidah kucing berbentuk bujur memanjang. Harga mengikut saiz.
Pada pendapat Mak Long, nak buat biskut lidah kucing ni memang mencabar minda dan kesabaran. Pertama kerana mengunakan 6 jenis warna yang harus dibubuh satu demi satu ke dalam loyang. Keduanya disebabkan biskut ni terlalu nipis maka kena pastikan suhu oven dan masa memang kena tepat, kalau tidak hanguslah biskut lidah kucing tu. Cabaran ketiga, biskut ni terlalu nipis, mudah patah ketika dikeluarkan dari loyang atau ketika dimasukkan ke dalam bekas. Akhir sekali, lekas-lekaslah masukkan biskut ni dalam bekas kedap udara kerana mudah masuk angin kalau dibiarkan ditempat terbuka terlalu lama.
BAHAN-BAHAN:
- 250gm mentega
- 175gm gula kastor (Mak Long kurangkan gulanya)
- 100ml putih telur
- 200gm tepung gandum
- 50gm tepung jagung
- 1/4 sudu teh emplex (tujuan merangupkan biskut)
- Pewarna ungu, biru, hijau, kuning, oren dan merah.
CARA PENYEDIAANNYA:
- Pukul mentega dan gula sehingga berkrim. Masukkan putih telur sedikit demi sedikit dan putar hingga sebati.
- Kemudian, masukkan tepung perlahan-lahan dan gaul rata.
- Bahagikan adunan kepada 6 bahagian dan campurkan dengan pewarna berlainan. Masukan adunan ke dalam piping beg.
- Sapukan mentega di atas loyang dan paipkan adunan mengikut turutan warna.
- Bakar di dalam ketuhar pada suhu 150'C selama 15 minit.
Comments
Post a Comment